KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) — Pakatan Harapan (PH) menawarkan satu formula kestabilan kerajaan yang akan melaksanakan dasar-dasar untuk mengembalikan kegemilangan negara, kata Pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam perutusan bersempena Pilihan Raya Umum ke-15 melalui laman Facebook rasminya, Presiden PKR itu berkata PH terdiri daripada satu pasukan yang komited terhadap agenda yang mengangkat budaya ihsan dan rahmat buat seluruh rakyat Malaysia.
Beliau yang dipetik Bernama berkata, kerajaan akan menjadi stabil jika patuh kepada Perlembagaan Persekutuan termasuk memelihara Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, penetapan hak keistimewaan Orang Melayu dan Bumiputera serta kedaulatan Raja-Raja Melayu.