Komuniti Agromakanan Luar Bandar Akan Terus Diperkasa

Komuniti Agromakanan Luar Bandar Akan Terus Diperkasa

0
SHARE

BELURAN, SABAH –  Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bersama Jabatan dan Agensi dibawahnya menganjurkan Program Semarak Tani Keluarga Malaysia @ Beluran pada 17 dan 18 September 2022 dirasmikan menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Program ini merupakan rangkuman produk-produk di bawah MAFI bertujuan untuk membantu memperkasa komuniti agromakanan luar bandar selain menyampaikan maklumat tentang pendekatan serta dasar-dasar terkini kerajaan secara terus kepada rakyat di peringkat lapangan.

Pelbagai aktiviti seperti Jualan Murah Keluarga Malaysia, My Best Buy Keluarga Malaysia, Kenduri Rakyat, Pameran Jabatan dan Agensi, Program Dialog Industri dan Peningkatan Kapasiti Nelayan, Program Agropreneur Muda, Sukan Rakyat, Pemimpin Bersama Komuniti dan lain-lain dilaksanakan sepanjang program ini.

Dr. Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata, program ini adalah usaha MAFI bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas secara langsung komuniti agromakanan terhadap impak pelaksanaan dasar dan pendekatan kerajaan melalui kementerian serta memberikan jaminan terhadap komitmen serta usaha-usaha berterusan kerajaan bagi meningkatkan pendapatan serta taraf hidup mereka. 

Dalam pada itu, Dr. Ronald turut menyaksikan sesi penyerahan Pasar Tamu Beluran kepada Majlis Daerah Beluran. Ini merupakan Pasar Tamu ke-4 yang telah dinaiktaraf di Negeri Sabah selepas Pasar Tamu Sook, Kudat dan Kunak yang dibangunkan oleh MAFI melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Projek Naiktaraf Pasar Tamu di Beluran telah siap pada pertengahan bulan Mei 2022 di bawah sumber peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang berjumlah RM746,000…

Dr Ronald berkata projek menaiktaraf Pasar Tamu adalah sebahagian daripada program pengukuhan rangkaian peruncitan Pasar Tamu di Sabah dan Sarawak dengan matlamat memperkasakan pemasaran hasilan pertanian melalui pembangunan outlet pemasaran kekal bagi memudahkan urusan antara usahawan dan pengunjung serta pihak berkuasa tempatan.

Penaiktarafan pasar tamu tersebut memberi manfaat kepada120 orang peserta sedia ada dalam memasarkan produk-produk mereka sekaligus membantu pengguna untuk mendapatkan produk-produk pertanian dan industri makanan pada harga yang berpatutan di daerah Beluran. 

Dalam majlis yang sama, Dr Ronald telah mengumumkan Penubuhan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Paitan yang merupakan PNK ke-15 bagi Negeri Sabah.

MAFI melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah merangka pelan strategik secara holistik merangkumi pembangunan sektor perikanan dan sosioekonomi nelayan sekali gus menunjukkan betapa besarnya sumbangan sektor perikanan dalam pembangunan ekonomi negara.

Penetapan sempadan PNK Paitan adalah dari Kampung Sungai Mapad sehingga Kampung Sungai Memahat serta pulau-pulau di sekitarnya. Antara cadangan kegiatan ekonomi yang akan dilaksanakan di PNK Paitan adalah Projek Agrotourism, Projek Pemasaran Ikan dan Hasil Laut serta Projek Kontrak dan Pembekalan.

Selain majlis simbolik Perasmian Pasar Tamu Beluran, Dr Ronald juga telah menyerahkan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) Laut secara tunai sebanyak RM193,275.80 kepada seramai 650 orang nelayan laut. 

Untuk rekod, nilai bayaran ESHN Laut bagi seluruh nelayan Negeri Sabah bagi tahun 2022 adalah sebanyak RM 22,013,900.00 memanfaatkan 7,671 orang nelayan laut.

Manakala, Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) Darat di Daerah Beluran di bawah Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) bagi tahun 2022 bernilai RM534,000 turut diserahkan hari ini yang memanfaatkan 178 orang nelayan darat. 

Selain itu, turut disampaikan projek naiktaraf dan bina baharu 14 buah jeti-jeti di kawasan Parlimen Beluran melibatkan kos keseluruhan RM1.2 juta yang akan memberi kemudahan pendaratan ikan yang lebih baik kepada nelayan-nelayan setempat.

Beberapa penyerahan insentif kepada komuniti agromakanan turut diadakan bersempena Program Semarak Tani Keluarga Malaysia @ Beluran yang merangkumi penyerahan sumbangan kepada asnaf JHEAINS Daerah Beluran dan sumbangan perlindungan takaful kemalangan diri oleh Bank Pertanian Malaysia (Agrobank), penyerahan peralatan pertanian oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), penyerahan Projek Naik Taraf Jeti Nelayan oleh LKIM dan penyerahan Kit serta pelepasan lori MAFI Prihatin.

MAFI sentiasa prihatin dan komited dalam menaiktaraf kehidupan usahawan agromakanan dan kebajikan para peladang, penternak, petani dan nelayan agar bekalan makanan negara terus kekal terjamin demi kelangsungan hidup Keluarga Malaysia