KOTA KINABALU, SABAH – Dua orang pesakit yang merupakan penerima transplan kornea (mata) telah menerima organ kornea dari seorang penderma organ, mendiang Cospermas Gugkang.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata
penderma yang meninggal pada usia 38 tahun itu disahkan meninggal dunia melalui pengesahan ujian mati otak di Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu.
Menurutnya, kes pendermaan organ itu telah disempurnakan pada 8 Januari lepas.
“Pembedahan transplan kornea yang disumbangkan ini juga telah berjaya dijalankan ke atas dua orang penerima transplan masing-masing pada 10 dan 11 Januari di HQE.
“Kedua-dua orang penerima tersebut kini stabil dan dalam proses pemulihan.
“Walaupun masih dalam kesedihan di atas kehilangan ahli keluarga tersayang, pihak keluarga mendiang telah bermurah hati untuk mendermakan sepasang kornea bagi tujuan transplan kepada pesakit yang memerlukan setelah diberikan penjelasan mengenai keadaan mendiang dan pilihan tentang pendermaan organ,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, semalam.
Dalam pada itu, Dr Rose Nani turut mengucapkan takziah dan merakamkan penghargaan kepada keluarga mendiang Cospermas.
“JKNS juga mengharapkan agar lebih ramai masyarakat tampil mendaftarkan diri sebagai pengikrar penderma organ melalui aplikasi MySejahtera untuk membantu pesakit-pesakit yang memerlukannya,” katanya.





