Menu Rahmah Wajar Diperkenalkan Di Sabah – Masiung

Menu Rahmah Wajar Diperkenalkan Di Sabah – Masiung

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Program Menu Rahmah yang diperkenalkan kerajaan di semenanjung wajar diperluaskan di Sabah, Sarawak dan Labuan supaya rakyat di tiga wilayah Borneo itu turut sama menikmati inisitif tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, menyambut baik program tersebut dan berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dapat mewujudkan sisi libat urus bagi melaksanakan program berkenaan di tiga wilayah berkenaan.

Katanya, program itu mempunyai manfaat lebih-lebih lagi jika ia diwujudkan dalam premis makanan di kawasan perkampungan universiti atau institusi pendidikan awam.

“Sekurang-kurangnya dapat meringankan bajet golongan pelajar kalangan B40 yang cuma bergantung sepenuhnya dengan perbelanjaan ibu bapa,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan Menu Rahmah iaitu hidangan makanan pada harga serendah RM5 ke bawah, bagi mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah.

Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub dijangka memeterai memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia dan Persatuan Pengusaha Tomyam Malaysia minggu depan.

” Kita melihat inisitif itu memang bagus serta mampu menjadi daya tarikan penghujung ke permis makanan bagi menjimatkan perbelanjaan harian.

” Tawaran harga juadah yang disediakan cukup berpatutan dan dapat membantu golongan sasar yang terkesan dengan kos sara hidup tinggi sekarang,” katanya.

Menurut Masiung, adalah kurang adil jika program itu hanya diperkenalkan di Semenanjung Malaysia, tapi penduduk di wilayah Borneo juga perlu dilibatkan supaya wujud inisitif sama rata.

Bagaimanapun, KPDN diingatkan agar membuat pemantauan dari masa ke semasa supaya peniaga tidak mengambil kesempatan memanipulasi Menu Rahmah.

Menu terbabit merangkumi nasi, ayam atau ikan dan sayur yang ditawarkan untuk sajian tengah hari dan malam.