Mutiara GRS Bakal Laksana Lebih Banyak Program Peringkat Akar Umbi

Mutiara GRS Bakal Laksana Lebih Banyak Program Peringkat Akar Umbi

0
SHARE
Juliah
Juliah (duduk di tengah) bersama barisan kepimpinan baharu Mutiara GRS ( Sumber Foto: Ihsan JKM )

KOTA KINABALU, SABAH – Mutiara GRS akan memperhebat dan mempelbagaikan program di peringkat akar umbi untuk memberi manfaat kepada rakyat, kata presiden dan isteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datin Juliah Salag.

“Sebagai isteri kepada wakil rakyat negeri, kita mesti memainkan peranan dalam membantu rakyat di kawasan masing-masing, terutamanya golongan wanita,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam ucapan penangguhan semasa Mesyuarat Agung Tahunan Khas Kedua Mutiara GRS di Rumah Mutiara GRS di sini, hari ini.

Mengucapkan tahniah kepada ahli jawatankuasa persatuan kebajikan isteri-isteri ADUN atau Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah (Mutiara GRS) yang baharu dilantik bagi penggal 2023-2025, Juliah menggesa semua ahli supaya berusaha dalam melaksanakan lebih banyak program kebajikan.

“Saya percaya program memperkasakan wanita di luar bandar boleh dilakukan melalui pelbagai program berorientasikan kemahiran untuk wanita dan suri rumah.

“Dengan kemahiran ini, mereka menimba ilmu dan membantu meningkatkan kesejahteraan ekonomi keluarga masing-masing.

“Bagaimanapun, dalam usaha kita membantu orang lain, saya berharap semua ahli juga akan terus menimba ilmu dan kemahiran dalam semua bidang.

“Saya mahu semua ahli Mutiara GRS berbuat demikian agar kita terus maju ke hadapan.

“Tetapi, setiap perancangan memerlukan keakuran dan sokongan daripada semua, tanpanya tidak mungkin Mutiara GRS membawa perubahan,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Juliah memaklumkan pelbagai aktiviti dengan kerjasama badan swasta dan awam telah dilaksanakan sejak Mutiara GRS didaftarkan secara rasmi pada April 2021.

“Saya percaya ini telah memberi kami peluang untuk mewujudkan rangkaian kerja dan menyumbang khidmat kami kepada masyarakat di samping memupuk hubungan dan kerjasama yang lebih erat di kalangan ahli Mutiara GRS,” katanya.

Juliah mahu melihat ahli meneruskan aktiviti ‘turun padang’ untuk merasai denyut nadi rakyat dan mengetahui masalah mereka, khususnya di kawasan luar bandar.

Melalui pendekatan ini, Mutiara GRS boleh membantu pemimpin dan wakil rakyat dengan menyumbang idea tentang cara membantu menangani masalah atau meningkatkan taraf hidup masyarakat di kawasan masing-masing, katanya.

Pada AGM Khas, Juliah dikembalikan tanpa bertanding sebagai presiden.

Barisan penuh bagi penggal 2023-2025 ialah Presiden Datin Seri Panglima Datuk Juliah Salag, Naib Presiden I Datin Cecillia Edwin Kitingan, Naib Presiden II/Biro Kebajikan Datin Linda Ewit, Naib Presiden III/Setiausaha Datin Dg Siti Noor Hayyat Ag Mohd Saufi, Bendahari Datin Malianah Ugau, Penolong Setiausaha Datin Maria Angin dan Penolong Bendahari Datin Tengku Adlina Marita Tengku Zainal Adlin. Ketua biro ialah Datin Noriah Pg Ahmad (Perumahan), Datin Annie Foo (Pendidikan), Datin Noraini Salleh (Sukan), Datin Lenny Natasha Tan Sri Musa Aman (Agama), Datin Wahida Mardiana Norsalim (Lawatan), Datin Siti Noor Liyana Abd Latiff Bledram (Kebudayaan) dan Datin Adizah Matusuf (Publisiti). Datin Nursiah Santri dan Datin Stella Yong dilantik sebagai juruaudit dalaman.