KSTI, MOSTI Kerjasama Wujudkan Pusat Sains Negara di Sabah

KSTI, MOSTI Kerjasama Wujudkan Pusat Sains Negara di Sabah

0
SHARE
Arifin
Arifin (tengah) dan Arthur (empat dari kiri) merakamkan gambar bersama warga Membakut dalam Program Kembara Sains Borneo Siri 2 2023 ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

MEMBAKUT, SABAH – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) akan terus bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk mewujudkan Pusat Sains Negara (PSN) di negeri ini.

Menteri KSTI, Datuk Dr Mohd Arifin Arif berkata pewujudan pusat tersebut penting dalam usaha kerajaan menarik perhatian golongan pelajar untuk meminati Sains sekali gus sebagai pemangkin kepada perkembangan bidang sains dan teknologi di Sabah pada masa depan.

“Saya mengambil kesempatan untuk meminta kepada kerajaan pusat melalui MOSTI supaya memperjuangkan pewujudan Pusat Sains Negara di Sabah.

“Mudah-mudahan dapat diperjuangkan oleh Menteri dan Timbalan Menteri MOSTI kerana ia sangat penting untuk kita di Sabah.

“Saya juga bersyukur kerana kerjasama di antara MOSTI dan KSTI sangat erat, dengan kerjasama yang baik ini, kita dapat membuat banyak program dan kerajaan pusat melalui MOSTI membawa banyak program di Sabah termasuklah Jelajah Sains Borneo, Minggu Sains Negara, program acara kecil-kecilan juga dibuat di sekolah dan di beberapa daerah.

“Dengan itu, saya mengucapkan terima kasih bagi pihak kerajaan negeri dan apa jua program yang dibuat MOSTI, KSTI akan menyokong dan akan dilibatkan sama.

“Saya yakin ia sangat bermanfaat untuk anak-anak kita khususnya dalam menjana semangat mereka kerana seperti mana Timbalan Menteri katakan tadi, Sains dilihat umum sebagai subjek yang susah.

“Namun, KSTI dan MOSTI akan menjadikannya sebagai subjek yg menyeronokkan di samping berhibur kita belajar ilmu berhubung dengan sains dan teknologi,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Arifin memaklumkan, cadangan beberapa lokasi bagi pembinaan pusat itu sudah dikenal pasti.

“Kami berharap Pusat Sains Negara ini akan diwujudkan di Kota Kinabalu berdekatan dengan kawasan bandar, ada beberapa cadangan lokasi sudah kita kenal pasti,” katanya kepada media selepas merasmikan Progran Kembara Sains Borneo Siri 2 Tahun 2023 di Dewan Kesenian Islam, pada Jumaat.

Sementara itu, Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Arthur Joseph Kurup turut menzahirkan nada serupa dan pihaknya kini hanya menunggu panduan daripada KSTI berhubung dengan penentuan tapak lokasi pusat tersebut.

“Pembinaan Pusat Sains Negara memang merupakan satu harapan daripada kita dan KSTI.

“Saya sudah beberapa kali membuat kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah dan juga kepada YB Menteri.

“Jadi, kita daripada MOSTI sedang menunggu panduan daripada KSTI berkait lokasi yang mana kerajaan negeri boleh membantu sebab bidang tanah ini di bawah kuasa kerajaan negeri.

“Saya dari peringkat persekutuan akan berusaha dan memperjuangkan supaya Sabah bakal mendapat Pusat Sains Negara satu hari nanti.

“Bagi saya, kalau tanah sudah ada, kita akan mula untuk memohon peruntukan, kosnya bergantung dengan lokasi, kajian bentuk fizikal (tanah), kawasan tanah itu adakah ia rata atau berbukit, ia akan memakan kos lagi tinggi,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut berkata pihaknya juga berharap rancangan pembinaan PSN terbabit dapat diwujudkan di kawasan bandar dan kawasan yang akan memberikan impak paling besar terhadap komunitinya.

Kembara Sains Borneo Siri 2 2023 yang bermula sejak 15 September sehingga 1 Oktober ini meliputi tiga buah parlimen iaitu Kimanis, Kalabakan dan Pensiangan dengan jangkaan pengunjung seramai 10 ribu orang.

Pelaksanaan Kembara Sains Borneo merupakan inisiatif di bawah payung besar Minggu Sains Negara (MSN) pada 24 hingga 26 Ogos lalu di Universiti Malaysia Sabah dan telah merekodkan penyertaan tertinggi seluruh negara iaitu seramai 23,000 orang. — JABATAN PENERANGAN SABAH