KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor diberi taklimat mengenai situasi keselamatan terkini di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZone) oleh Komander Kawasan Keselamatan Timur Sabah (ESSCOM) DCP Victor Sanjos.
Ia merupakan kunjungan hormat pertama Victor kepada Ketua Menteri di Menara Kinabalu pada Selasa sejak dilantik sebagai komander ESSCOM pada Jun tahun ini.
Ketua Menteri juga dimaklumkan mengenai pelbagai program kemasyarakatan dilaksanakan untuk meningkatkan tahap kesedaran keselamatan dalam kalangan komuniti ESSZone.
Turut dalam rombongan ESSCOM ialah Ketua Pegawai Eksekutif Dr Jamaluddin Mohd Ali.
Hajiji juga menerima maklumat terkini mengenai keadaan maritim negeri semasa pertemuan dengan Pengarah Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim, Che Engku Suhaimi Che Engku Daik.
Delegasi Maritim Sabah termasuk Timbalan Pengarah (Operasi) Kapten Maritim Mahmad Faizal Ahmad dan Timbalan Pengarah (Pengurusan) Siti Norhaini Osli.






