TIADA PENYALAHGUNAAN KUASA DALAM PERJANJIAN TANAH KUDAT: KM HAJIJI

TIADA PENYALAHGUNAAN KUASA DALAM PERJANJIAN TANAH KUDAT: KM HAJIJI

0
SHARE
Hajiji
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ( Sumber Foto: Bernama )

KOTA KINABALU, SABAH –  Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyangkal dakwaan salah guna kuasa dalam meluluskan perjanjian tanah di Kudat.

“Tuduhan itu berniat buruk, bermotifkan politik dan bertujuan untuk memburukkan nama saya.

“Pejabat saya akan memberikan kerjasama penuh kepada sebarang siasatan berhubung dakwaan itu.

“Semua permohonan telah melalui prosedur yang diperlukan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Penggunaan Tanah dan diproses di pejabat Permohonan Tanah Yayasan Sabah yang telah dirujuk kepada pihak Lembaga Pengarah Innoprise Corporation Sdn Bhd.

“Semuanya dilakukan mengikut undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan bagi menjawab dakwaan terbabit yang tular di media sosial.

Menurutnya, siasatan akan dilakukan dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pegawai-pegawai yang mengeluarkan dokumen sulit yang telah digunakan untuk membuat dakwaan itu.

Tambahnya, pihak berkuasa juga dimaklumkan mengenai akaun Facebook, yang menyiarkan fitnah tersebut untuk mencemarkan nama baiknya.

“Saya akan berunding dengan peguam saya untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap dakwaan palsu ini,” katanya.