Golongan Berusia 60 Ke Atas Dipelawa Sertai Sugandoi Songkotoun Peringkat Daerah Tuaran...

Golongan Berusia 60 Ke Atas Dipelawa Sertai Sugandoi Songkotoun Peringkat Daerah Tuaran 2023

0
SHARE
Herman
Pengerusi Jawatankuasa Sugandoi Kaamatan Daerah Tuaran, Herman Tunggiging

TAMPARULI, SABAH – Golongan veteran berusia 60 tahun ke atas dipelawa menyertai Pertandingan Sugandoi Kaamatan Peringkat Daerah Tuaran 2023 pada 16 April (Ahad) ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sugandoi Kaamatan Daerah Tuaran, Herman Tunggiging berkata, setakat ini belum ada sebarang penyertaan yang berdaftar secara online bagi kategori Songkotoun yang menyasarkan golongan veteran berumur 60 tahun ke atas.

Justeru, beliau menyeru kepada semua peminat seni hiburan tempatan dalam lingkungan umur berkenaan untuk tampil menonjolkan bakat mereka sekaligus mewakili daerah Tuaran ke peringkat Negeri nanti.

“Tahun ini Sugandoi Kaamatan Tuaran bagi kategori Terbuka mencatat penyertaan tertinggi iaitu hampir mencecah 50 orang, manakala kategori Dazanak seramai lebih kurang lima orang yang mendaftar secara dalam talian, ini satu petanda yang sangat baik,” katanya.

Bagaimanapun, beliau memberitahu bahawa daerah Tuaran ibarat ketandusan penyanyi lagu-lagu lama Songkotoun, kerana belum lagi mendapat sebarang penyertaan sejak diiklankan beberapa minggu lalu.

“Mungkin belum ada yg berani menyahut cabaran ini, atau mungkin juga mereka sengaja menunggu pada saat akhir (16 April) nanti barulah mereka hadir mendaftar,” katanya.

Justeru, Herman mengajak semua yang berbakat semula jadi dalam bidang seni suara untuk sama ada mendaftar secara online atau pun hadir pada 16 April ini di Dewan Masyarakat Tun Hamdan bermula jam 10 pagi.

“Kehadiran anda semua sudah tentu dapat memeriahkan lagi sesi saringan itu nanti “ katanya.

Untuk rekod, daerah Tuaran telah berjaya melahirkan Juara Sugandoi Dazanak Peringkat Negeri Sabah pada tahun lalu iaitu Jesse Eamanda Jackhlee.