KOTA KINABALU: Program agihan 1,000 pek bubur lambuk anjuran Lembaga Sukan Sabah berjaya menyemarakkan amalan berkongsi rezeki dalam kalangan masyarakat sepanjang bulan Ramadan, sekali gus mengeratkan hubungan antara kakitangan kementerian dan orang ramai.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, program tersebut merupakan antara inisiatif yang dilaksanakan setiap kali Ramadan bagi memupuk nilai kebersamaan serta keprihatinan terhadap masyarakat.
“Alhamdulillah pada petang ini saya dijemput oleh Lembaga Sukan Sabah, salah satu agensi di bawah kementerian, untuk mengagihkan bubur lambuk yang sememangnya menjadi program yang sentiasa diadakan apabila kita berada dalam bulan Ramadan,” katanya ketika ditemui media selepas program agihan bubur lambuk di hadapan pejabat Lembaga Sukan Sabah, pada Jumaat.
Beliau berkata, sebanyak 1,000 pek bubur lambuk yang mengandungi hidangan daging dan ayam telah disediakan hasil kerjasama kira-kira 60 kakitangan Lembaga Sukan Sabah yang bergotong-royong bagi menjayakan program berkenaan.
“Saya difahamkan seramai 60 kakitangan telah bergotong-royong menyediakan kira-kira 1,000 pek bubur lambuk. Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pengurusan serta kakitangan Lembaga Sukan Sabah atas inisiatif yang cukup baik ini,” katanya.
Menurut beliau, program seumpama itu bukan sahaja membantu golongan yang memerlukan, malah turut memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan berkongsi rezeki, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Tambahnya, program agihan bubur lambuk berkenaan telah mula diadakan sejak tahun 2023 dan diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai salah satu aktiviti kebajikan kementerian.
Dalam pada itu, Nizam turut memaklumkan kementeriannya akan terus melaksanakan pelbagai program kebajikan sepanjang Ramadan termasuk kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah serta program bersama golongan belia dan Rakan Muda bagi menyantuni masyarakat yang memerlukan.
Beliau berkata sambutan orang ramai terhadap program tersebut amat menggalakkan apabila kesemua 1,000 pek bubur lambuk yang disediakan berjaya diagihkan kepada pengguna jalan raya dan masyarakat sekitar dalam tempoh singkat.






