Lima Rumah, Tiga Premis Perniagaan Musnah Dalam Kebakaran di Kg Air Semporna

Lima Rumah, Tiga Premis Perniagaan Musnah Dalam Kebakaran di Kg Air Semporna

0
SHARE

SEMPORNA: Lima buah rumah dan tiga premis perniagaan musnah dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku di Kampung Air, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.43 petang itu, lima rumah jenis tidak kekal dilaporkan terbakar sepenuhnya manakala sebuah lagi rumah mengalami kerosakan kira-kira 10 peratus.

Kebakaran berkenaan turut memusnahkan tiga premis perniagaan iaitu sebuah kedai runcit, kedai makan dan kedai bundle yang masing-masing terbakar 100 peratus. Turut terjejas ialah sebuah bangunan Taska ABIM yang tidak lagi beroperasi sejak tahun 2017.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Rastam Keladi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 3.43 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira dua kilometer dari balai.

“Jentera pertama tiba di lokasi pada jam 3.49 petang dan operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 600 kaki dengan empat pancutan air yang diperoleh daripada jentera bomba serta pili bomba berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran pada jam 4.51 petang dan menyelamatkan kira-kira 50 buah rumah berhampiran daripada turut terbakar.

Operasi pemadaman melibatkan seramai 24 anggota bomba dari BBP Semporna dengan bantuan BBP Air Semporna dan BBP Kunak, menggunakan beberapa jentera termasuk FRT, CFRT, EMRS serta sebuah bot aluminium.

Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.01 malam dan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu, manakala punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.