Perjuangan Hak Sabah Bukan Milik Mana-Mana Parti – KEADILAN Sabah

Perjuangan Hak Sabah Bukan Milik Mana-Mana Parti – KEADILAN Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Perjuangan menuntut hak Sabah bukan milik mana-mana parti politik, sebaliknya usaha kolektif demi kepentingan negeri, kata Biro Strategik KEADILAN Sabah.

Ketuanya, Ahsim Jamat berkata, kenyataan pihak tertentu yang memperlekeh usaha kerajaan negeri dalam pengurusan minyak dan gas melalui Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan Petronas adalah tidak berasas.

“Perjuangan menuntut hak Sabah bukan agenda eksklusif mana-mana parti. Ia adalah usaha kolektif merentas politik yang berpaksikan kepentingan negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, sejak CCA dimeterai pada Disember 2021, nilai kontrak minyak dan gas kepada syarikat berpangkalan di Sabah meningkat lebih tiga kali ganda daripada kira-kira RM600 juta kepada hampir RM2 bilion.

Beliau berkata Sabah juga memperoleh lebih RM800 juta hasil langsung daripada penjualan minyak mentah selain pegangan dalam beberapa aset tenaga termasuk medan Samarang, Samur dan kemudahan gas asli cecair terapung (ZLNG) di Sipitang.

Ahsim turut menegaskan lebih 300 syarikat Sabah kini terlibat sebagai vendor industri minyak dan gas dengan penguasaan kontrak tempatan meningkat kepada kira-kira 36 peratus berbanding hanya tiga peratus sebelum ini.

Katanya, pendekatan kerjasama antara kerajaan negeri dan Petronas mampu membawa manfaat kepada Sabah, selain menolak retorik politik yang disifatkannya sebagai “tin kosong”.