Wanita Maut Terpelanting Dari Kereta Di Kinarut

Wanita Maut Terpelanting Dari Kereta Di Kinarut

0
SHARE
Kenderaan mangsa yang terbabas ke dalam longkang...(Sumber Foto: Ihsan JBPM Sabah)

PAPAR, SABAH – Seorang wanita 44 tahun meninggal dunia selepas kederaan Proton Saga dinaikinya hilang kawalan lalu terbabas dalam longkang di Kampung Kawang, Kinarut, petang semalam.

Difahamkan cuaca hujan serta jalan yang licin menjadi faktor kemalangan yang turut membabitkan seorang remaja lelaki, 16, dan dewasa 39 tahun.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah melaporkan telah menerima panggilan kecemasan berhubung kes pada jam 4.46 petang.

Sepasukan 11 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Papar sampai ke lokasi berjarak kira-kira 25 kilometer daripada balai pada pukul 5.17 petang.

“Jarak dari jalan raya ke longkang lebih kurang 50 meter,” kata seorang jurucakap agensi.

“Mangsa terpelanting keluar dari kenderaan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia di lokasi kejadian dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis…

“Seorang mangsa cedera ringan telah dikeluarkan oleh Pasukan Bomba menggunakan peralatan khas dan seorang lagi dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan Bomba.

“Kedua-dua mangsa telah diberikan rawatan awal dan dihantar ke Hospital Papar menggunakan Ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Setelah memastikan keadaan di lokasi selamat, pasukan Bomba menamatkan operasi pada jam 5.51 petang.