Lima Palauh Disyaki Menjadi Awak-Awak Bot Nelayan Tempatan Ditahan

Lima Palauh Disyaki Menjadi Awak-Awak Bot Nelayan Tempatan Ditahan

0
SHARE
Antara suspek yang ditahan APMM kerana melanggar Akta imigresen...(Sumber Ihsan APMM)

SANDAKAN, SABAH – Sebuah bot nelayan tempatan ditahan bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen di sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, bot tersebut ditahan di Selatan Pulau Berhala pada pukul 6.40 petang.

“Hasil pemeriksaan, tekong dan dua ‘awak-awak’ warga Indonesia mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah manakala lima lagi awak-awak berumur 18 hingga 34 tahun disyaki berbangsa Palauh mengemukakan dokumen pengenalan diri yang meragukan.

“Kesemua suspek serta bot diiringi ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia. Kes disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Suhairy turut mengingatkan agar komuniti maritim sentiasa bekerjasama dengan pihak Maritim Malaysia dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan dengan aktiviti menyalahi undang-undang atau kecemasan di laut dengan menghubungi terus bilik operasi 24 jam Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian MERS 999.