TAWAU: Seorang suspek dipercayai terlibat dalam kes samun seorang wanita yang tular melalui satu klip video di media sosial kelmarin, berjaya ditumpaskan petang tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, pihak Polis telah menerima satu laporan mengenai kejadian samun melibatkan seorang wanita, berlaku kira-kira 10 pagi kelmarin, di tempat letak kereta lorong belakang sebuah bangunan kedai, Jalan Pelabuhan Tawau, semasa mangsa ingin menaiki kenderaan miliknya.
“Mangsa seorang wanita berusia 32 tahun yang bertugas sebagai penjawat awam itu telah didatangi seorang lelaki yang tidak dikenali sambil menegur tayar kereta milik mangsa telah pancit dan kemudiannya suspek masuk ke dalam kereta mangsa dan berlaku pergelutan.
“Suspek telah mencekik leher serta mengancam akan menikam mangsa dan cuba untuk mengambil barang berharga tetapi tidak berjaya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, suspek gagal mengambil barang berharga milik mangsa dan melarikan diri kerana kehadiran orang ramai untuk membantu mangsa.
Justeru itu, katanya, susulan itu Polis telah bertindak atas maklumat dan risikan melalui OP Kesan, iaitu sepasukan anggota Strike Team dan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya menahan suspek.
“Operasi yang diketuai oleh Inspektor Hamka Ab Rashid, Ketua Polis Balai Tawau telah memberkas seorang lelaki warga tempatan berumur 38 tahun di sekitar kampung Tanjung Batu Keramat kira-kira pukul 5.40 petang kerana dipercayai terlibat dengan kes cubaan rompak seorang wanita.
“Ketika tangkapan dibuat, suspek bertindak agresif dan berlaku pergelutan antara pihak Polis dan suspek.
“Suspek berjaya diberkas dan dibawa ke IPD Tawau dan kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan,” jelasnya.
Hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek memiliki dua rekod berkaitan jenayah pecah rumah dan dadah.






