
KOTA KINABALU, SABAH – Persiapan Sambutan Hari Malaysia yang akan berlangsung pada 16 September depan berjalan lancar.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata acara tersebut akan diadakan di Padang Merdeka bermula pada jam lapan malam dan dimeriahkan dengan beberapa acara serta persembahan.
“Ini termasuk persembahan kebudayaan, lagu-lagu tradisi dan kontemporari selain pameran bagi mengimbau sejarah pembentukan Malaysia serta aspek-aspek penting berkaitan negara.
“Ada beberapa perkara bersifat protokol yang memang akan kita saksikan setiap kali sambutan 16 September tetapi pada masa yang sama ada tambahan (persembahan) kebiasaannya dari segi persembahan kebudayaan.
“Itu yang akan menjadi kelainan dari satu sambutan ke satu sambutan yang lain tapi saya nampak ada peluang untuk terutama warga Sabah datang beramai-ramai dan raikan Hari Malaysia,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2024, pada Isnin.
Fahmi menjemput orang ramai khususnya rakyat Sabah agar sama-sama memeriahkan sambutan yang akan dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Sementara itu, dalam satu kenyataan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata di peringkat negeri beberapa mesyuarat koordinasi telah diadakan bagi memastikan Sambutan Hari Malaysia berjalan lancar.
“Dengan kerjasama, sokongan dan komitmen daripada semua pihak, saya yakin sambutan Hari Malaysia tahun ini akan lancar, meriah dan berjaya,” ujarnya. — JABATAN PENERANGAN SABAH





