Polis KK Lupus Barang Kes Libatkan 33 Kertas Siasatan

Polis KK Lupus Barang Kes Libatkan 33 Kertas Siasatan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu melaksanakan Majlis Pelupusan Barang Kes melibatkan sebanyak 33 kertas siasatan, dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Stor Barang Kes Berpusat (SBKB), Kepayan pada Isnin.

Majlis itu telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt. Iyda Ismail, sebagai simbol komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap pengurusan barang kes yang telus dan berintegriti.

Pelupusan barang kes kali ini melibatkan pelbagai barangan berkaitan kes perjudian dan kes-kes jenayah am lain, yang telah melalui proses perundangan lengkap dan menerima arahan pelupusan daripada Yang Arif Tuan Peguam Negara (YATPR).

Menurut kenyataan rasmi IPD Kota Kinabalu, proses pelupusan ini dijalankan mengikut prosedur yang telah ditetapkan di bawah undang-undang sedia ada bagi memastikan pengurusan barang kes sentiasa mematuhi piawaian profesional.

“Majlis seperti ini penting dalam memastikan akauntabiliti dan integriti dalam pengurusan bukti kes jenayah sentiasa dijaga, sekali gus mengekalkan kepercayaan awam terhadap institusi kepolisan,” jelas kenyataan itu.

PDRM menegaskan bahawa pengurusan sistematik barang kes bukan sahaja mempercepatkan proses penyelesaian siasatan, malah turut mencerminkan komitmen pasukan polis dalam menegakkan undang-undang dengan penuh tanggungjawab.