KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih belum memuktamadkan sebarang bentuk kerjasama rasmi dengan mana-mana parti politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) ke-17 yang dijangka bakal berlangsung hujung tahun ini.
Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, menegaskan bahawa tumpuan utama ketika ini adalah untuk mempertahankan kerajaan negeri yang dibentuk bersama Pakatan Harapan (PH), dan bukan untuk tergesa-gesa merancang strategi pilihan raya.
“Kerjasama? Belum lagi. Kita mahu kerjasama. Kita pertahan yang ada sekarang, kerajaan GRS–PH itu asas kita. Dan kita telah sampaikan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya ketika ditemui media di sini, hari ini selepas menyempurnakan pelancaran semula laluan feri KK–Labuan di Pelabuhan Kota Kinabalu.
Hajiji yang juga Ketua Menteri memaklumkan, soal kerjasama politik bagi menghadapi PRN akan datang, GRS masih terbuka untuk perbincangan dan belum ada keputusan muktamad dibuat setakat ini.
“Jadi yang lain-lain, kita akan berbincang. Belum lagi pilihan raya. Bubar pun belum, jadi sabar saja. Kamu tunggu, nanti saya orang beritahu,” tambah Hajiji ringkas.
Kenyataan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu timbul susulan gesaan beberapa pemimpin PH Sabah yang mendesak agar GRS segera menyatakan pendirian mengenai bentuk kerjasama menjelang PRN.
Antara yang menyuarakan perkara itu ialah Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud yang sebelum ini dilaporkan meminta GRS memberi penjelasan demi memastikan kesiapsiagaan jentera pilihan raya.
Bagaimanapun, Hajiji memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai strategi atau tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri, sambil meminta semua pihak bersabar menunggu keputusan rasmi daripada kepimpinan gabungan.
GRS membentuk kerajaan negeri selepas PRN Sabah ke-16 pada 2020 dan kemudiannya menjalinkan kerjasama dengan PH bagi memastikan kestabilan pentadbiran negeri pasca Pilihan Raya Umum ke-15.






