Kenyataan Warisan Mengenai GLC Hina Kebijaksanaan Rakyat Sabah – Ceasar Mandela

Kenyataan Warisan Mengenai GLC Hina Kebijaksanaan Rakyat Sabah – Ceasar Mandela

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Pemuda GRS Penampang, Datuk Ceasar Mandela Malakun menyifatkan kenyataan Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong berhubung tadbir urus syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai tidak berasas dan memperlekehkan kebijaksanaan rakyat Sabah.

Beliau berkata, semasa pentadbiran Warisan (2018–2020), pengurusan Sabah International Petroleum (SIP) dan Sabah Development Bank (SDBank) menunjukkan kelemahan ketara.

“Apabila Ketua Menteri ketika itu turut menjadi Pengerusi SIP, timbul persoalan serius mengenai tumpuan kuasa dan kurangnya semak imbang,” katanya.

Menurut Mandela, hutang SIP kepada SDBank meningkat daripada RM1.05 bilion kepada RM1.24 bilion, manakala liabiliti keseluruhan mencecah RM1.75 bilion. Pada masa sama, obligasi bon luar SDBank melonjak kepada RM4.57 bilion.

“Walaupun berdepan tekanan kewangan, bank tetap mengisytiharkan keuntungan tahunan. Ini menimbulkan kebimbangan berlakunya kelemahan tadbir urus yang serius, termasuk kemungkinan penggunaan akaun kreatif,” katanya lagi.

Beliau berkata kerajaan GRS kini sedang menjalankan reformasi ke atas SIP dan SDBank untuk memulihkan disiplin kewangan dan tadbir urus.

“Perbincangan awam mengenai pembaharuan GLC amat dialu-alukan, tapi ia mesti berasaskan fakta, bukan putar belit politik,” tegasnya.

Mandela menegaskan bahawa GRS komited memulihkan keyakinan rakyat menerusi pembaikan institusi secara berstruktur dan jangka panjang.