Perkhidmatan Feri Labuan Baru Mula Semula, Sudah Ada Cubaan Seludup Dadah

Perkhidmatan Feri Labuan Baru Mula Semula, Sudah Ada Cubaan Seludup Dadah

0
SHARE

LABUAN: Belum pun lama perkhidmatan feri penumpang dan kenderaan ke Labuan kembali beroperasi, sudah ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk menyeludup dadah.

Empat individu yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback telah ditahan ketika berada atas sebuah feri dalam perjalanan ke pulau itu, hasil tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan.

Menurut kenyataan, penahanan dibuat berdasarkan maklumat risikan yang diterima dan pemeriksaan rapi telah dijalankan oleh anggota Maritim Malaysia ketika feri tersebut berada di perairan Labuan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua penumpang disyaki terlibat dalam aktiviti yang melanggar peruntukan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” kata agensi itu.

Kesemua suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kapten Maritim Izwanhadi Hj Idros berkata kejayaan itu menunjukkan pentingnya maklumat risikan yang tepat serta kerjasama antara agensi dalam mengekang kegiatan penyeludupan.

“Maritim Malaysia akan terus memperhebat rondaan dan pemeriksaan, terutamanya di kawasan strategik seperti laluan feri,” katanya sambil menegaskan komitmen agensi dalam menjaga keselamatan perairan negara daripada sebarang unsur jenayah termasuk dadah.