Lelaki Ditahan, Tikam Buruh Kasar di Pasar Ikan Tawau

Lelaki Ditahan, Tikam Buruh Kasar di Pasar Ikan Tawau

0
SHARE

TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas dipercayai menikam seorang buruh kasar dalam satu insiden pergaduhan yang berlaku di kawasan pasar ikan, berhampiran sebuah pasar raya di sini, petang tadi.

Menurut kenyataan pihak polis, Pusat Kawalan Daerah (DCC) Tawau menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 memaklumkan berlakunya kejadian pergaduhan melibatkan senjata tajam.

Sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Tawau segera ke lokasi kejadian dan berjaya menahan suspek berusia kira-kira 37 tahun.

Polis turut merampas sebilah pisau panjang yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek dan mangsa merupakan buruh kasar di kawasan pasar. Sebelum kejadian, kedua-duanya dipercayai telah meminum minuman keras dan berada di bawah pengaruh alkohol. Pergaduhan tercetus selepas mangsa didakwa mengejek suspek,” menurut kenyataan polis.

Suspek kemudian bertindak agresif dengan menikam mangsa di bahagian perut hingga menyebabkan kecederaan serius.

Mangsa segera dibawa ke Hospital Umum Tawau untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala suspek kini ditahan bersama barang bukti untuk siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah menggunakan senjata.

Polis menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan video atau gambar kejadian bagi memastikan proses siasatan berjalan lancar serta mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat.