KUDAT: Tindakan segera Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat malam Khamis berjaya membawa seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang mengalami sesak nafas dari Pulau Banggi ke Hospital Kudat untuk rawatan kecemasan.
Mangsa, Anisa Aman Shah, sebelum itu menerima rawatan awal di Klinik Kesihatan Karakit, namun keadaannya semakin kritikal dan memerlukan rawatan lanjut di hospital.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, pihaknya melaksanakan misi bantuan pemindahan perubatan atau Medical Evacuation (MEDEVAC) selepas menerima panggilan kecemasan daripada petugas perubatan di klinik berkenaan.
“Bot CENDERAWASIH 10 digerakkan serta-merta untuk membawa pesakit dari Jeti Karakit ke Jeti Marina Kudat. Pesakit diiringi bapanya dan seorang kakitangan kesihatan sepanjang perjalanan,” katanya.
Menurut beliau, bot tersebut tiba di Jeti Marina sekitar jam 11 malam sebelum Anisa dipindahkan ke ambulans bagi mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Kudat.
Namun, difahamkan remaja berkenaan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Komander Hasbullah menegaskan bahawa Maritim Malaysia sentiasa komited membantu komuniti maritim, khususnya mereka yang tinggal di kawasan kepulauan yang sukar diakses melalui jalan darat.
“Kami sentiasa bersedia memberikan bantuan, terutamanya dalam situasi kecemasan yang melibatkan nyawa. Ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab kemanusiaan kami,” ujarnya.




