Masalah Air Sabah Tidak Akan Selesai Selagi Paip Usang Tidak Diganti –...

Masalah Air Sabah Tidak Akan Selesai Selagi Paip Usang Tidak Diganti – Amarjit

0
SHARE

KOTA KINABALU: Masalah bekalan air di Sabah tidak akan selesai walaupun loji rawatan baru telah dibina, selagi paip-paip usang tidak diganti, kata bekas Pengarah Jabatan Air Negeri, Datuk Amarjit Singh.

“Kapasiti rawatan bukan masalah utama. Isu sebenar ialah sistem agihan.

“Kita boleh rawat lima juta liter sehari, tapi kalau paip tak mampu salur, rakyat tetap tak dapat air,” dakwanya.

Menurutnya, kebanyakan paip di Sabah diperbuat daripada simen asbestos dan sudah tidak sesuai menampung jumlah air yang lebih tinggi dari loji-loji baru.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya, mengenai gangguan berterusan di Putatan dan Kota Kinabalu walaupun loji Kasigui di Penampang sudah mula menghasilkan air dirawat.

Shahelmey sebelum ini menyatakan Loji Kasigui mampu hasilkan sehingga lima juta liter sehari tapi sekarang cuma tiga atau empat juta sahaja.

Beliau juga memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan menggantikan kira-kira 1,200 kilometer paip lama secara berperingkat dan kerja-kerja penggantian telah bermula di Sandakan, Keningau dan Kota Kinabalu sejak tahun lalu.

“Program ini sebahagian daripada projek bekalan air berimpak tinggi di bawah Rolling Plan Ke-5 Rancangan Malaysia Ke-12,” Shahelmey berkata.

Sebanyak 52 projek sedang dijalankan di seluruh negeri termasuk Pantai Barat, pedalaman, Tawau, Sandakan dan Kudat.

Kajian di peringkat daerah pula sedang disiapkan untuk Rancangan Malaysia Ke-13, sebagai asas kepada strategi ‘Water Grid’ Sabah.

Shahelmey turut menjelaskan Kerajaan negeri sedang kemukakan cadangan kepada kementerian persekutuan untuk selesaikan isu lama di Tawau dan Sandakan serta gantikan paip usang di kawasan utama seperti Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan.

Amarjit bagaimanapun memberi amaran selagi paip lama yang rapuh dan bocor ini tidak diganti secara menyeluruh dan tepat, gangguan akan terus berlaku dari bandar sampai ke kampung.

Sejak September 2023, Putrajaya telah meluluskan pinjaman lunak RM300 juta kepada Sabah untuk penyelesaian jangka pendek krisis air, selain lebih RM6 juta disalurkan khusus untuk Universiti Malaysia Sabah.

Untuk rekod, antara 2001 dan 2014, kerajaan persekutuan telah membelanjakan RM11.1 bilion untuk infrastruktur di Sabah, termasuk RM4 bilion untuk projek air sahaja.

Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Yong Teck Lee turut mencadangkan agar Jabatan Air Sabah dibubarkan dan digantikan dengan badan berkanun profesional yang lebih cekap untuk mengurus bekalan air negeri.