Pejuang Sabah Desak Siasatan Lebih Efisien dan Telus Kes Kematian Adik Zara...

Pejuang Sabah Desak Siasatan Lebih Efisien dan Telus Kes Kematian Adik Zara Qairina

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Parti Pejuang Tanahair Sabah hari ini menggesa agar siasatan berhubung kematian tragik pelajar Sekolah Menengah Agama Tun Datu Mustapha, Zara Qairina Mahathir, dilaksanakan dengan lebih efisien, telus dan tanpa kompromi, khususnya jika melibatkan mana-mana pihak berkepentingan.

Timbalan Ketua Negeri Pejuang Sabah, Razif Abdillah, dalam satu kenyataan rasmi menyuarakan kekecewaan terhadap kelewatan perkembangan siasatan, meskipun sudah hampir tiga minggu insiden itu berlaku.

“Kita bukan berniat untuk mengganggu siasatan, tetapi kes ini melibatkan kematian seorang pelajar sekolah di tempat yang sepatutnya menjadi selamat – iaitu sekolah kerajaan berasrama penuh. Ini bukan isu peribadi, ini kepedulian masyarakat,” katanya.

Razif turut mempersoalkan beberapa perkara yang belum diperjelaskan secara rasmi kepada umum seperti siapa yang menjumpai mayat Zara, lokasi sebenar kejadian, keberadaan warden sekolah ketika insiden berlaku, serta kewujudan rakaman CCTV.

Beliau menyatakan bahawa ketelusan maklumat adalah penting bagi mengelakkan pelbagai spekulasi liar termasuk dakwaan melibatkan pelajar VVIP, pertukaran sekolah secara mendadak, dan cerita tidak sahih seperti Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh, yang kini telah dinafikan oleh peguam keluarga.

“Kita tidak mendengar kenyataan daripada pihak sekolah seperti warden, pengetua mahupun Jabatan Pendidikan Negeri. Hanya Menteri Pendidikan yang menyeru agar masyarakat tidak berspekulasi, tetapi sehingga kini tiada progres yang meyakinkan diumumkan,” ujarnya.

Razif turut membangkitkan persoalan sama ada bedah siasat telah dijalankan, memandangkan keluarga mangsa difahamkan sanggup menggali semula kubur untuk tujuan tersebut, selain laporan fizikal yang menimbulkan banyak pertanyaan mengenai punca kematian.

Beliau menyeru agar semua saksi tanpa mengira latar belakang dipanggil untuk membantu siasatan, dan menegaskan tiada pihak harus terkecuali daripada tindakan undang-undang, termasuk jika melibatkan golongan elit atau pentadbir sekolah.

“Jika ada kecuaian, pertanggungjawaban mesti dilaksanakan. Ini kes anak tunggal kepada seorang ibu tunggal. Kita seru agar nilai kemanusiaan dijadikan asas dalam menguruskan kes ini. Jangan biarkan pelaku, siapa pun mereka, terlepas daripada pengadilan.

“Kami mohon, jangan ada gangguan dalaman. Bertindaklah dengan adil. Rakyat sedang memerhati, dan Tuhan sedang menilai,” ujarnya.