Perbanyakkan Program Kepimpinan Mesra Gender, Tuntut Pendidikan Lebih Inklusif

Perbanyakkan Program Kepimpinan Mesra Gender, Tuntut Pendidikan Lebih Inklusif

0
SHARE

KOTA KINABALU; Ketua Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Kundasang, Nur Adleyia Mohd Naziz menyeru agar pembangunan kepimpinan wanita muda dijadikan keutamaan dalam sistem pendidikan negara, termasuk di peringkat institusi pengajian tinggi, bagi melahirkan lebih ramai pemimpin wanita yang progresif, berprinsip dan berdaya saing.

Dalam perbahasan yang disampaikan pada Persidangan Agung Tahunan Beliawanis Gagasan Rakyat baru-baru ini, Nur Adleyia menegaskan bahawa wanita muda masa kini bukan lagi sekadar pelengkap dalam masyarakat, sebaliknya merupakan pemikir, tenaga kerja, pencetus inovasi dan pemimpin masa depan yang wajar diberi ruang untuk menyerlah.

Menurutnya, antara faktor utama yang menyumbang kepada kurangnya penglibatan wanita dalam kepimpinan ialah kurangnya penekanan terhadap aspek tersebut dalam sistem pendidikan nasional yang terlalu menumpukan kepada pencapaian akademik semata-mata.

“Bayangkan sekiranya kita membina generasi wanita muda yang bukan sahaja bijak dalam ilmu, tetapi juga bijak memimpin, berani bersuara, serta matang dalam membuat keputusan inilah aset sebenar negara,” katanya.

Beliau turut menyarankan agar program pembangunan kepimpinan yang mesra gender, modul pemerkasaan diri dan latihan berasaskan nilai diperkenalkan secara lebih menyeluruh dalam kurikulum pendidikan bagi membentuk karakter dan keyakinan diri golongan wanita muda.

Dalam ucapan yang sama, Nur Adleyia turut menggesa agar institusi pendidikan tinggi memainkan peranan yang lebih proaktif dengan menyediakan platform kepimpinan dan meningkatkan kesedaran politik progresif dalam kalangan pelajar wanita.

Katanya, walaupun universiti merupakan tempat ideal untuk melahirkan pemimpin masa depan, budaya “patriarki kecil” dalam organisasi pelajar serta kurangnya pendedahan kepada isu semasa dan pemikiran politik kritikal masih menjadi halangan utama.

“Kita tidak mahu wanita muda hanya tahu politik semasa musim pilihan raya sahaja. Kita mahu mereka menjadi suara aktif dalam memperjuangkan keadilan sosial, pendidikan, ekonomi dan hak asasi bukan dengan cara ekstrem, tetapi melalui kefahaman, dialog dan tindakan yang membina,” tegasnya.

Beliau mencadangkan agar pihak institusi memperbanyakkan program latihan kepimpinan yang inklusif, membuka lebih banyak peluang penglibatan dalam persatuan pelajar dan menyediakan mentor wanita sebagai sumber inspirasi kepada generasi muda.