Kayuhan Santai IPD Papar Meriah

Kayuhan Santai IPD Papar Meriah

0
SHARE
Ipd
Ghulam (dia dari kanan) menyempurnakan acara pelepasan Kayuh Santai Ipd Papar ( Sumber Foto: Ihsan IPD Papar )

PAPAR, SABAH – Walaupun hujan renyai, Program Kayuhan Santai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar berlangsung meriah dengan penglibatan hampir 1,000 peserta.

Ketua Polis Daerah, Supt Kamaruddin Ambo Saka berkata program tersebut bertujuan untuk mengeratkan hubungan di antara Polis dan masyarakat, di samping menggalakkan amalan budaya hidup sihat serta kempen membanteras jenayah.

“Program kayuhan ini adalah sempena Hari Malaysia dan mendapat sambutan yang sangat memuaskan dengan anggaran seramai 1,000 peserta.

“Malah, kita juga menerima penyertaan daripada team pengayuh dari negara jiran, Brunei Darussalam selain pengayuh-pengayuh dari daerah berhampiran dan kelab-kelab berbasikal,” katanya.

Mengulas lanjut, ujar Kamaruddin, kayuhan santai tersebut meliputi jarak 30km dan memerlukan tahap komitmen yang tinggi dalam kalangan peserta ekoran cuaca hujan.

“Kayuhan ini memakan jarak 30km bermula dari Ipd Papar menuju ke Pantai Manis tembus ke Benoni seterusnya ke Simpudu melalui ke Lebuhraya Pan Borneo sebelum berpatah balik ke Pekan Papar dan berakhir di Ipd Papar.

“Cabaran pada kali ini agak berbeza di mana para pengayuh akan melalui Lebuh Raya Pan Borneo ditambah pula dengan cabaran cuaca hujan.

“Kita berharap para pengayuh akan lebih berhati-hati dengan keselamatan diri masing-masing semasa mengayuh,” jelasnya kepada media di sini, pada Sabtu.

Pada majlis itu, acara pelepasan (flag off) disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar yang diiringi Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, DCP Shahurinain Jais.

Turut mengiringi, ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim dan ADUN Pantai Manis, Datuk Mohd Tamin Zainal serta Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, SAC Azmi Abd Rahim.

Selain pameran dan jualan oleh rakan-rakan strategik serta cabutan pengunjung bertuah, majlis dihiburkan oleh Juara Battle Of The Band Polis Kontinjen Sabah 2019, ThunderStorm Band Ipd Kota Kinabalu. — JABATAN PENERANGAN SABAH