KPM Rayu Agar Tiada Himpunan, Boikot Terhadap SMKA Tun Datu Mustapha

KPM Rayu Agar Tiada Himpunan, Boikot Terhadap SMKA Tun Datu Mustapha

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuat rayuan agar orang ramai tidak mengadakan perhimpunan atau memboikot Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan di Kinarut, Sabah, di tengah kontroversi berkaitan kes kematian pelajar Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Menurut Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, KPM dan kepimpinan pendidikan termasuk Menteri Pendidikan amat mengutamakan keadilan bagi Allahyarhamah.

Namun demikian, beliau menegaskan bahawa keadilan juga perlu diberikan kepada pelajar dan guru di sekolah terbabit, dalam usaha menjaga emosi dan kestabilan psikologi mereka.

Semasa sidang media selepas Majlis Apresiasi Guru Madani dan Penyerahan BAP Tingkatan 6 di Seremban, Dr Mohd Azam berkata:

“Kita tidak mahu ada Zara kedua, ketiga dan keempat. Dalam kita memperjuangkan keadilan untuk Allahyarham, pada masa sama, kita buli emosi, perasaan dan psikologi pelajar di sekolah berkenaan.

“Saya harap perkara-perkara ini dihentikan dan berikan kepercayaan kepada pihak berkuasa yang mengendalikan kes ini. Saya percaya pihak berkuasa akan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin dan kami di peringkat KPM, menteri sendiri akan memberikan sokongan penuh,” katanya.

Tambahnya, selain daripada rayuan agar tiada demonstrasi atau boikot, KPM akan mengambil langkah-langkah untuk menambah keselamatan di sekolah seperti menambah bilangan warden, memperluas penggunaan CCTV dan memastikan audit keselamatan harian oleh Jemaah Nazir.