RM1 Bilion Hutang Dibayar Hasil Perancangan Pentadbiran Terdahulu, Bukan Warisan – Nizam

RM1 Bilion Hutang Dibayar Hasil Perancangan Pentadbiran Terdahulu, Bukan Warisan – Nizam

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menegaskan bahawa pembayaran penuh RM1 bilion hutang kerajaan negeri pada tahun 2019 adalah hasil perancangan kewangan pentadbiran terdahulu, bukannya kejayaan yang boleh dituntut oleh kerajaan Warisan.

Menurut beliau, kenyataan Menteri Kewangan Sabah baru-baru ini membongkar fakta sebenar bahawa bayaran tersebut dilakukan menggunakan dana yang telah disimpan secara sistematik sejak tahun 2014, selaras dengan syarat Bank Negara Malaysia ketika menerbitkan Bon Kerajaan Negeri Sabah (2014/2019).

“Sejak Disember 2014, kerajaan negeri menubuhkan Tabung Amanah Khas bagi memastikan bayaran balik bon dapat dibuat sepenuhnya apabila matang. Sebanyak RM200 juta dicarum setiap tahun selama lima tahun, sehingga terkumpul RM1 bilion pada 2019,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dana tersebut, jelas beliau, membolehkan pembayaran penuh dilakukan secara sekali gus tanpa menjejaskan kedudukan kewangan negeri.

Langkah itu, katanya, adalah hasil perancangan berhemah dan strategi pentadbiran sebelum Warisan mengambil alih kuasa, sekaligus menolak dakwaan Datuk Seri Shafie Apdal bahawa ia merupakan pencapaian kerajaan pimpinannya.

“Warisan hanya melaksanakan proses akhir pembayaran menggunakan dana yang sudah tersedia hasil kerja pentadbiran terdahulu.

“Adalah tidak tepat dan mengelirukan untuk menuntut kredit atas usaha yang dirancang dan dilaksanakan pihak lain,” tegasnya.

Nizam, yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah, berkata kenyataan ini perlu untuk meluruskan fakta serta menolak naratif politik yang cuba memutarbelit sejarah demi kepentingan peribadi.