KOTA KINABALU: Suasana penuh syahdu menyelubungi Majlis Tahlil, Bacaan Yasin dan Doa yang dianjurkan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bagi memperingati Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir di Wisma Muis, di sini semalam.
Setiausaha Agung Gagasan Rakyat, Datuk Mohamed Razali Razi berkata, majlis tersebut merupakan inisiatif parti untuk menzahirkan solidariti selain memohon agar segala urusan keluarga Allahyarhamah dipermudahkan.
“Majlis tahlil ini kita adakan sebagai tanda kebersamaan dengan keluarga arwah. Kita mahu kejelasan, keadilan dan ketenangan untuk keluarga Zara, dan kita doakan semoga proses inkues nanti berjalan lancar demi menegakkan kebenaran,” katanya ketika ditemui selepas selesai majlis yang dihadiri lebih 1,500 orang.
Majlis itu turut dihadiri, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Dalam pada itu, Razali menekankan bahawa tumpuan utama kini adalah kepada proses inkues yang bakal dilaksanakan.
“Inkues ini sangat penting kerana ia akan menjelaskan perkara sebenar. Kita mendengar suara dan keperluan rakyat, dan kita yakin inkues akan membawa keadilan,” jelasnya.
Ditanya mengenai kesan isu ini terhadap kerajaan negeri atau Persekutuan, beliau berkata, masyarakat perlu menunggu hasil inkues sebelum membuat penilaian.
Beliau turut menolak spekulasi bahawa isu ini akan mempengaruhi keputusan pilihan raya akan datang.
“Kita bukan bercakap tentang pilihan raya, tetapi tentang keadilan. Fokus kita adalah memberikan sokongan emosi dan moral kepada keluarga arwah, kerana itu yang lebih utama,” katanya.
Majlis yang bermula jam 4 petang itu menampilkan bacaan Yasin dipimpin Naib Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim, manakala doa dan tahlil dipimpin Pengerusi Biro Agama, Datuk Azman Ruslan.






