Polis Tahan Lelaki Warga Asing Pukul Isteri di Tawau

Polis Tahan Lelaki Warga Asing Pukul Isteri di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 30-an kerana disyaki menumbuk isterinya dalam kejadian di sebuah bilik sewa di Jalan Dunlop, di sini pada Jumaat.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.01 tengah malam apabila suspek berang selepas mangsa yang berusia 50-an lambat membuka pintu bilik.

“Suspek bertindak menumbuk lengan kiri isterinya sehingga menyebabkan kesakitan dan lebam. Mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurut Champin, hasil maklumat dan risikan, sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya menahan suspek kira-kira jam 1.50 petang semalam di tepi jalan sekitar bandar Tawau.

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga, serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Superintendan Champin menegaskan pihak polis memandang serius kes keganasan rumah tangga dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat.

“Orang ramai dinasihatkan agar menyelesaikan pertikaian secara berhemah dan tidak bertindak mencederakan pasangan. Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kes keganasan rumah tangga diminta menyalurkannya segera kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.