KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) akhirnya sah menyertai komponen Pakatan Harapan (PH) selepas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) telah membuat keputusan untuk menerima parti itu sebagai salah satu parti komponen blok pembangkang semalam (26 Ogos).
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Saifuddin Nasution Ismail berkata, PH terus membuka ruang kepada mana-mana parti dalam blok pembangkang untuk menyertai pakatan itu.
“Ia selaras dengan semangat ‘Khemah Besar’ untuk berunding dan bekerjasama berdasarkan Agenda Reformasi dan kepentingan rakyat yang disebut Majlis Presiden PH baru-baru ini…
“PH akan meneruskan serta memperkukuh kerjasama dengan parti-parti pembangkang demi memastikan blok Pembangkang bertambah berkesan dan bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.
“Satu pertemuan ketua-ketua parti pembangkang akan diadakan dalam masa terdekat untuk membincangkan isu-isu politik semasa termasuk persiapan menghadapi sidang Parlimen yang bakal bermula pada 6 September nanti,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick berkata Pakatan Harapan (PH) kini merupakan gabungan parti berbilang kaum yang terbesar di Malaysia merangkumi parti-parti komponennya, iaitu PKR, DAP, AMANAH dan UPKO.
“UPKO, selepas resolusi parti pada tahun 2019 juga menjadi parti politik berbilang kaum sepenuhnya dan keputusan menyertai gabungan parti berbilang kaum selaras dengan aspirasi parti,” kata Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian itu dalam sebuah kenyataan.
Gabungan politik itu pertama kali bagi UPKO sejak keluar daripada Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Menurut Ewon, Pakatan Harapan (PH) kini merupakan gabungan parti berbilang kaum yang terbesar di Malaysia merangkumi parti-parti komponennya, iaitu PKR, DAP, AMANAH dan UPKO.