Undi Adalah Kebebasan Terbesar: Rakyat Sabah Diseru Gunakan Kuasa di Peti Undi

Undi Adalah Kebebasan Terbesar: Rakyat Sabah Diseru Gunakan Kuasa di Peti Undi

0
SHARE

KOTA KINABALU: Menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, rakyat negeri ini diingatkan bahawa erti kebebasan sebenar dalam sebuah negara demokrasi bukan sekadar pada nyanyian lagu kebangsaan atau kibaran Jalur Gemilang, sebaliknya dizahirkan melalui keberanian rakyat turun mengundi.

Pegawai Khas kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Johan Jahid, berkata sempena Bulan Kebangsaan dan sambutan Hari Sabah, rakyat wajar menzahirkan semangat patriotisme dengan menyertai proses demokrasi.

“Mengundi adalah ungkapan kebebasan paling berkuasa dalam negara demokrasi. Hak mengundi memberi kita kuasa menentukan siapa yang mewakili rakyat di Dewan Undangan Negeri, siapa yang bersuara untuk komuniti luar bandar, dan siapa yang membawa pembangunan ke kawasan yang lama terpinggir,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut beliau, kekuatan demokrasi Sabah terletak pada kepelbagaian suara, budaya dan identiti rakyatnya. Oleh itu, PRN kali ini memberi peluang penting untuk memilih pemimpin yang benar-benar memahami cabaran hidup rakyat serta komited kepada pentadbiran berintegriti.

Beliau turut menegaskan, gesaan memboikot pilihan raya hanya akan melemahkan rakyat sendiri.

“Undi kita bukan hadiah untuk ahli politik, tetapi tuntutan terhadap akauntabiliti. Menjauhkan diri daripada proses demokrasi tidak menyelesaikan kelemahan pentadbiran – sebaliknya memperlahankan kemajuan,” katanya.

Johan merujuk dapatan kaji selidik Vodus Research yang mendedahkan 32 peratus pengundi Sabah masih belum membuat keputusan – satu jumlah besar yang berpotensi menentukan keputusan PRN.

Kajian sama mendapati pengundi kini lebih menekankan isu ekonomi, kos sara hidup, penjagaan kesihatan, peluang pekerjaan dan rasuah, berbanding kesetiaan kepada parti politik.

Sebanyak 66 peratus responden menekankan faktor kecekapan, integriti dan kebolehpercayaan calon sebagai asas pilihan, terutama dalam kalangan Bumiputera dan komuniti Muslim.

Bagi rakyat luar bandar, beliau menekankan bahawa pilihan raya kali ini adalah peluang untuk menuntut kepimpinan yang benar-benar fokus kepada isu infrastruktur, peluang pekerjaan dan perkhidmatan kesihatan.

Beliau turut menyeru pengundi kali pertama – dianggarkan mewakili 8 peratus pengundi keseluruhan agar tidak mensia-siakan peluang menentukan masa depan Sabah.

Dalam masa sama, laporan mendapati 42 peratus pengundi B40 masih belum membuat keputusan, menggambarkan keperluan mendesak untuk penyampaian mesej politik yang lebih jelas dan meyakinkan.

“Ramai letih dengan janji kosong dan ketidakstabilan politik. Namun, menjauhkan diri daripada pilihan raya hanya memastikan masalah berterusan. Patriotisme sebenar bukan hanya dengan mengibarkan bendera, tetapi dengan mengambil tanggungjawab terhadap masa depan melalui undi,” tegasnya.

Akhir sekali, Johan menggesa pertubuhan masyarakat sivil, belia dan pemimpin komuniti memperhebatkan usaha pendidikan pengundi di seluruh negeri.

“Kuasa sebenar terletak di tangan rakyat. Gunakan kuasa itu dengan jelas, yakin dan berani. Jangan biarkan suara anda hilang. Biarlah undi anda mencerminkan aspirasi, nilai dan komitmen untuk Sabah yang lebih baik,” katanya.