MCMC Pastikan Telco Perkukuh Rangkaian Hadapi Monsun Timur Laut

MCMC Pastikan Telco Perkukuh Rangkaian Hadapi Monsun Timur Laut

0
SHARE

LAHAD DATU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini mengadakan tinjauan serta ujian kualiti liputan komunikasi di Kampung Sepagaya bagi menilai kesiapsiagaan penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) menghadapi Monsun Timur Laut.

MCMC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, melalui pengujian bersama CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech dan YTL menggunakan aplikasi MCMC NEXUS, menara komunikasi di kawasan tersebut dilaporkan mampu mencapai kelajuan sehingga 300Mbps bagi rangkaian 5G dan 80Mbps bagi 4G, memberi manfaat secara langsung kepada kira-kira 3,800 penduduk tempatan.

“Setakat 31 Julai 2025, liputan Internet di kawasan berpenduduk di Sabah telah mencapai 95.30%, peningkatan ketara berbanding hanya 73.41% sebelum pelaksanaan projek Jalinan Digital Negara (JENDELA).

“Bagi memastikan rangkaian komunikasi kekal stabil sepanjang musim banjir, MCMC mengarahkan semua telco untuk menambah kapasiti rangkaian serta menyediakan bekalan kuasa sokongan termasuk penggunaan genset dan sistem hibrid solar, memandangkan Kampung Sepagaya merupakan antara kawasan berisiko banjir ketika Monsun Timur Laut,” jelas kenyataan itu.

Selain itu, dua Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) iaitu NADI Kampung Sepagaya dan NADI Layung Industrial turut disediakan untuk kegunaan komuniti dalam mengakses pelbagai perkhidmatan digital.

Usaha ini selaras dengan hasrat Kerajaan MADANI bagi meningkatkan ketercapaian digital, memperkukuh agenda pendigitalan negara, serta memacu pembangunan sosioekonomi rakyat.

Turut hadir dalam tinjauan tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Dato’ Seri Mohamad Fauzi bin Md Isa dan Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali.