KOTA KINABALU: Bendahari Agung UPKO, Dennison R. Indang menegaskan kenyataan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menggunakan istilah ‘kafir’ tidak boleh dianggap remeh dan mesti dipertanggungjawabkan sepenuhnya.
“Permohonan maaf melambangkan kesediaan menanggung kesalahan.
“Tetapi ada pula pemimpin Warisan mempertahankan ucapan itu kononnya hanya merujuk kepada bukan Islam.
“Hujah bercanggah sebegini hanya mengelirukan rakyat dan menambah bara dalam masyarakat,” katanya.
Menurutnya, tindakan Warisan cuba mengalih isu kepada penarikan balik saman 40 peratus hasil negeri hanyalah helah politik.
“Shafie sendiri pernah menolak saman tersebut. Apabila ditarik balik, Warisan pula menjerit pengkhianatan.
“Ini bukti nyata politik oportunis tanpa keikhlasan untuk rakyat,” tegas Dennison.
Beliau menegaskan desakan masyarakat Murut Kristian supaya Shafie membuat permohonan maaf terbuka adalah tepat dan tidak boleh dipandang ringan.
“Mengabaikan tuntutan itu hanya menunjukkan sikap angkuh dan tidak bertanggungjawab,” katanya.
Dennison turut mengingatkan bahawa tanggungjawab meredakan ketegangan terletak di bahu Shafie sendiri.
“Jangan cuba menutup isu sebenar. Sabah dibina atas keharmonian pelbagai kaum dan agama. Sikap cuai hanya akan membuka ruang perpecahan,” ujarnya.






