KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menegaskan penggunaan rokok elektronik atau vape semakin membimbangkan kerana memberi kesan buruk kepada kesihatan dan juga nilai moral, khususnya dalam kalangan remaja.
Pensyarah Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS, Dr Abdul Rahman Ramdzan berkata ramai pengguna tidak sedar cecair vape mengandungi bahan kimia berbahaya.
“Apabila dipanaskan, bahan asas seperti propylene glycol dan glycerine boleh menghasilkan formaldehid (penyebab kanser), acrolein (merosakkan paru-paru), serta logam berat seperti arsenik,” jelasnya.
Beliau menambah pendedahan asap vape turut mengancam bayi, kanak-kanak, wanita mengandung dan warga emas.
“Ini bukan sekadar isu individu, tetapi ancaman kesihatan masyarakat,” katanya.
Kajian NHMS 2022 menunjukkan 14.9 peratus pelajar sekolah menengah di Malaysia menggunakan vape, meningkat daripada 9.8 peratus pada 2017.
“Lebih membimbangkan, peratusan remaja perempuan yang menghisap vape kini 3.65 kali lebih tinggi berbanding rokok biasa,” katanya.
Dr Abdul Rahman turut menekankan bahawa bagi umat Islam, isu vape adalah soal kesihatan dan juga agama.
“Vape merosakkan nyawa, akal, keturunan, harta, malah agama. Beberapa mufti negeri sudah pun mengisytiharkan ia haram,” ujarnya.
UMS menyeru agar penguatkuasaan diperketatkan, undang-undang dipatuhi, dan pendidikan awam diperkukuh bagi melindungi generasi muda daripada terjebak dengan gejala berbahaya ini.






