TENOM, SABAH – Calon bebas bagi kerusi Parlimen Tenom, Riduan Rubin, menggariskan enam fokus utama dalam melaksanakan perubahan di daerah ini sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurut calon yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pemasaran dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu, menyatakan beliau meletakkan aspek pendidikan sebagai fokus pertama dengan misi bagi memantapkan prestasi pendidikan di Tenom dan daerah kecil Kemabong.
Melalui aspek itu, beliau antaranya menyarankan kepada kerajaan supaya memperbanyakkan bantuan terutama golongan yang memerlukan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan membantu golongan masyarakat yang memerlukan kebajikan.
“Saya juga akan mewujudkan Pusat Informasi Belia untuk membantu golongan belia dalam pelbagai aspek seperti pendidikan, pekerjaan, kebajikan dan keusahawanan…
“Begitu juga usaha memperkasakan kaum wanita dan belia dalam peluang pekerjaan selain memperkasakan seni budaya daerah Tenom bakal dilaksanakan,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran manifestonya di Dewan Serbaguna Kompleks Tenom, hari ini.
Beliau turut menggariskan tumpuan dalam pembangunan infrastruktur dan prasarana termasuk usaha menyediakan kemudahan air bersih.
Menurutnya, beliau akan memohon kepada kerajaan untuk melaksanakan pembinaan jalan raya baharu menghubungkan Melalap di daerah ini dengan Membakut sebagai laluan baharu.
“Usaha menaik taraf jalan raya di kampung-kampung juga akan dilaksanakan dan saya akan memohon kepada kerajaan untuk melaksanakan pembasmian kemiskinan dengan melakukan pembangunan setempat meneroka tanah kerajaan,” katanya.
Riduan turut menggariskan usahanya untuk menaik taraf Jalan Keningau – Tenom hingga ke Kuala Tomani, menaik taraf Jalan Tenom-Sipitang dan memohon peruntukan secukupnya untuk menaik taraf kereta api Tenom- Beaufort dengan segera atau membina jalan raya Tenom-Pangi-Rayoh
Kataya, usaha mencantikkan landskap Pekan Tenom juga tidak akan dilupakan.
“Pada masa yang sama saya juga akan menekankan aspek kerohanian yang membabitkan usaha menaik taraf rumah-rumah ibadat di Tenom dan Kemabong, memperjuangkan kebajikan imam, pastor, paderi dan pemimpin agama Buddha,” katanya.
Selain itu, Riduan juga bakal mewujudkan pusat rekreasi untuk golongan belia di DUN Melalap dan DUN Kemabong disamping memperbanyakkan program seminar belia dan membantu meningkatkan kemudahan prasarana sukan di sini.
“Saya juga akan membantu para atlet untuk mencapai sukan berpestij dan memperkasakan pusat e-sport yang berdaya saing selain mewujudkan Akademi Bola Sepak di Tenom,” katanya.
Beliau turut menegaskan bakal melaksanakan usaha memperkasakan ekonomi Tenom yang merupakan nadi kemajuan dan pembangunan daerah yang dikenali sebagai antara pengeluar hasil pertanian utama di Sabah.
Menerusi aspek terbabit, katanya beliau akan memohon kepada kerajaan untuk membina kilang buah-buahan bagi membolehkan petani mengeluarkan hasil pertanian yang berkualiti tinggi di samping mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan belia.