Kes Zara: Polis Dakwa Lelaki Ugut Pakar Forensik dan Wanita Fitnah TYT

Kes Zara: Polis Dakwa Lelaki Ugut Pakar Forensik dan Wanita Fitnah TYT

0
SHARE

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan dua kes melibatkan ugutan dan fitnah melalui media sosial telah diambil tindakan undang-undang dan dibawa ke Mahkamah Kota Kinabalu.

Kes pertama membabitkan seorang pakar patologi forensik berkaitan siasatan kematian Zara Qairina. 

Mangsa menerima ugutan melalui akaun Facebook “Amung Kamaruddin” pada 5 September lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata suspek ditahan di Semporna bersama telefon bimbit yang digunakan.

“Pada 11 September, suspek dihadapkan ke mahkamah di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, mengaku tidak bersalah dan dibenarkan ikat jamin RM20,000,” katanya.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 29 September ini.

Dalam kes berasingan, seorang wanita tempatan berusia 32 tahun ditahan selepas didapati membuat hantaran berunsur fitnah terhadap Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah melalui akaun Facebook “Ash Qiey” pada 1 Ogos lalu.

“Suspek ditahan di Kota Marudu bersama telefon bimbit dan kad SIM. Pada 11 September, dia mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen dan dikenakan denda RM10,000, atau penjara dua bulan jika gagal membayar,” Kasim berkata.

Beliau menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ugutan, ancaman atau fitnah di media sosial.

“Keselamatan individu, institusi negeri dan ketenteraman awam mesti dipelihara.

“Polis akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melampaui batas,” tegasnya melalui kenyataan.