KUALA LUMPUR – Kerajaan ketika ini yang diterajui oleh Perikatan Nasional (PN) masih lagi mendapat sokongan melebihi 110 ahli-ahli Parlimen, demikian menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri yang juga Ketua Whip Kerajaan mengesahkan perkara tersebut dan berharap rakyat bertenang di dalam menghadapi situasi terkini.
“Saya menjunjung akan titah Yang diPertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Istana Negara pada hari ini…
“Situasi politik negara pada hari ini dalam keadaan yang tidak stabil yang boleh menjejaskan usaha menyelesaikan masalah ekonomi dan memerangi pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa yang sama, beliau meminta rakyat untuk sama-sama berdoa agar kemelut politik ini berakhir dengan segera.
Dalam pada itu, beliau dalam satu kenyataan telah mempengerusikan satu perjumpaan bersama 40 orang ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) hari ini.
Melalui perjumpaan tersebut, mereka semua menjunjung kasih akan titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
“Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional juga akur dengan titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan keutamaan kepada kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat serta negara,” menurutnya dalam kenyataan itu.
Ahli-ahli Parlimen BN juga sebulat suara memberi sokongan kepada Kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
