Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah Dibatalkan Susulan Bencana Banjir, Fokus Operasi...

Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah Dibatalkan Susulan Bencana Banjir, Fokus Operasi Menyelamat

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah mengumumkan pembatalan sambutan Hari Malaysia peringkat negeri yang dijadualkan berlangsung di Padang Merdeka pada malam esok berikutan krisis bencana besar akibat hujan berterusan yang menjejaskan sekurang-kurangnya tujuh daerah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keputusan itu dimaklumkan kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, pagi tadi.

Beliau menegaskan, keutamaan kerajaan ketika ini adalah mengurus krisis, menyelaras usaha pemulihan serta memastikan operasi menyelamat dapat dijalankan segera bagi membantu komuniti yang terjejas.

“Dalam waktu sukar ini, kesejahteraan, kebajikan dan keselamatan rakyat adalah paling utama. Segala fokus dan sumber mesti ditumpukan kepada mereka yang terkesan,” katanya dalam kenyataan media.

Hajiji turut mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri supaya sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga memandangkan cuaca buruk masih berterusan.

Jawatankuasa berkenaan yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong, akan mengadakan mesyuarat khas untuk menilai perkembangan dan menyelaras tindakan segera di kawasan terlibat.

Dalam pada itu, Hajiji menyeru rakyat agar terus berwaspada, mematuhi arahan keselamatan dan memberi kerjasama penuh kepada pasukan penyelamat yang sedang giat digerakkan di seluruh negeri.