Nilai Kemanusiaan Perlu Dipelihara Dalam Musibah Banjir – Arifin

Nilai Kemanusiaan Perlu Dipelihara Dalam Musibah Banjir – Arifin

0
SHARE

Oleh: Ahmad Fazlan Shah Abd Rahman

MEMBAKUT, 18 September — Rakyat di negeri ini diseru agar mengetepikan perbezaan politik, kaum dan fahaman dalam usaha membantu mangsa banjir yang terjejas.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Exco Agama dan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, sebagaimana ditekankan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, keutamaan kini adalah kebersamaan dan perpaduan rakyat dalam menghadapi musibah.

“Walaupun ada rumah yang dinaiki air dan kawasan ditenggelami banjir, semangat kita untuk bersatu dan berpadu jangan sekali-kali tenggelam. Inilah harapan kita bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 20 wakil penduduk di lima buah kampung di Kampung Pimping di sini, hari ini.

Arifin ketika menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada mangsa bencana banjir di Kg Pimping, Membakut hari ini…

Arifin turut menegaskan bahawa nilai kemanusiaan perlu dipelihara, selaras dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar rakyat saling membantu ketika berdepan bencana.

Semalam, Hajiji dilaporkan berkata, soal politik, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak wajar dibangkitkan ketika ini kerana kebajikan rakyat perlu menjadi keutamaan.

Jumlah mangsa banjir di Sabah semakin meningkat kepada 3,325 orang daripada 964 keluarga petang ini berbanding 3,134 orang daripada 916 keluarga pada Khamis.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di 28 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan enam daerah iaitu Beaufort, Membakut, Penampang, Papar, Putatan dan Sipitang.