KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan menggesa Kerajaan Persekutuan meluluskan segera peruntukan kira-kira RM900 juta bagi melaksanakan projek tebatan banjir kritikal di Sabah.
Beliau menyifatkan tragedi yang meragut 13 nyawa baru-baru ini sebagai satu ‘wake-up call’ atau pengajaran.
“Kita tidak boleh membiarkan keadaan ini berulang tanpa tindakan tegas. Rakyat tidak boleh terus hidup dalam ketakutan setiap kali hujan lebat turun,” tegas beliau.
Bencana banjir dan tanah runtuh itu meragut tujuh nyawa di Kampung Cenderakasih, Kota Kinabalu; tiga di Kampung Marahang Tuntul, Papar; dua di Kampung Mook, Papar; dan seorang di Kampung Sarapung, Penampang.
Jeffrey turut menzahirkan rasa dukacita terhadap seorang pekerja Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yang dilaporkan hanyut ketika bertugas dan masih belum ditemui.
“Beliau adalah lambang pengorbanan anak Sabah yang berbakti untuk memastikan kehidupan orang lain tidak terputus bekalan tenaga walaupun dalam keadaan bencana,” katanya.
Menurut Jeffrey, kerajaan negeri telah lama mengenal pasti projek tebatan banjir penting termasuk Pembangunan Lembangan Sungai Moyog di Penampang, namun usaha itu berulang kali ditolak kerana pembiayaan tidak diluluskan sejak RMK11.
“Saya dengan penuh harapan merayu kepada Perdana Menteri agar meluluskan peruntukan segera kira-kira RM900 juta untuk melaksanakan projek-projek kritikal ini. Nyawa rakyat Sabah mesti diutamakan,” katanya.






