RM10 Juta Untuk Pemerkasaan Wanita Sabah

RM10 Juta Untuk Pemerkasaan Wanita Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperuntukkan kira-kira RM10 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan dan pemerkasaan kepimpinan wanita berwibawa di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan sentiasa prihatin terhadap pembangunan wanita dan komited memastikan golongan itu menikmati peluang serta faedah yang sama rata.

Beliau menegaskan lebih ramai wanita kini dilantik dalam pembentukan dasar serta pembuatan keputusan, khususnya dalam sektor perkhidmatan awam dan agensi kerajaan.

“Saya berharap usaha pemerkasaan wanita seperti simposium ini dapat dilaksanakan secara berterusan dengan sokongan kerajaan, sektor swasta, pertubuhan masyarakat sivil dan komuniti setempat,” katanya ketika merasmikan Simposium Pemimpin Wanita Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Ucapan itu disampaikan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib.

Simposium sehari itu, yang disertai kira-kira 3,000 wanita dari seluruh Sabah, memberi tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu pendidikan, ekonomi dan kepimpinan politik, sejajar dengan Dasar Wanita Negara.

Hajiji berkata, sebelum simposium ini, program pemerkasaan wanita telah melalui beberapa fasa: Engagement with Sabah Women’s Leaders pada 16 Jun 2025 dengan kehadiran 1,300 peserta.

Sabah Women’s Lab Fasa 2: Incubator Lab, menyaksikan 75 peserta berjaya membentangkan projek dan kertas kerja.

Mereka yang menamatkan kedua-dua fasa dipilih menyertai program khas pemerkasaan wanita, Global Women @ Sabah (GLOW@SABAH).

Katanya, antara cabaran yang perlu ditangani termasuk jurang peluang pekerjaan antara lelaki dan wanita, diskriminasi gender tidak langsung, halangan budaya, serta akses pendidikan dan peluang ekonomi yang adil.

“Kita mahu melahirkan generasi wanita Sabah yang berdaya tahan, berilmu, berkemahiran tinggi dan mampu memimpin di peringkat negeri, kebangsaan serta antarabangsa,” tegas beliau.