TELUK PANGLIMA GARANG: Sebuah keluarga mendakwa anak lelaki mereka berusia tujuh tahun menjadi mangsa buli di sebuah sekolah rendah agama swasta di Tropicana Aman hingga mengalami kecederaan serius.
Insiden itu difahamkan berlaku di dalam kelas apabila mangsa ditendang berulang kali oleh rakan sekelasnya sehingga menyebabkan pendarahan dalaman di bahagian sulit.
Mangsa kemudian dihantar ke sebuah hospital swasta di Shah Alam untuk rawatan kecemasan dan dimasukkan ke wad bagi pemantauan lanjut.
Mengikut laporan The Vocket, keluarga mangsa berkata mereka telah menuntut penjelasan serta tindakan tegas daripada pihak sekolah dan ibu bapa pelaku, namun, respons sekolah mengejutkan mereka.
Menurut keluarga, pihak sekolah bukan sahaja menggantung anak mereka, malah menamatkan persekolahan mangsa, sedangkan pelaku yang didakwa membuli masih bersekolah seperti biasa.
Keputusan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa lain mengenai tahap keselamatan pelajar di sekolah terbabit.
Berasa tidak adil, keluarga mangsa kini mendapatkan khidmat peguam untuk meneliti langkah undang-undang.
Mereka juga merayu pihak berkuasa campur tangan segera bagi memastikan keadilan ditegakkan.
Keluarga turut menggesa agar persekitaran pembelajaran yang lebih selamat diwujudkan supaya insiden seumpama ini tidak berulang.






