Oleh: Mirlen Axtius
KOTA KINABALU: Ketua Warden Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Ustaz Azhari Abd Sagap menafikan dakwaan kononnya pihak sekolah melindungi pelajar yang membuli arwah Zara Qairina Mahathir.
Dalam keterangannya di hadapan Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan, Azhari menjelaskan bahawa beliau sendiri yang menyalurkan maklumat penting kepada pihak polis, termasuk rakaman audio yang menyebut nama “Kak M”.
“Kalau kami mahu melindungi pembuli Zara, saya tidak akan ceritakan apa yang berlaku pada malam 15 Julai 2025 kepada polis, dan saya juga tidak akan maklumkan pada 16 Julai 2025 sebelum ibu Zara membuat laporan polis kali kedua. Segala maklumat yang polis minta, saya beri,” katanya ketika menjawab soalan peguam Abdul Fikri, yang mewakili empat pesalah kanak-kanak dalam kes berkenaan.
Azhari menegaskan, beliau yang mengesahkan kepada polis identiti “Kak M” dalam rakaman tersebut, sekali gus menolak tuduhan bahawa pihak sekolah bersekongkol untuk menutup kes.
Beliau turut menafikan dakwaan bahawa “Kak M” merujuk kepada seorang pelajar bernama Melur.
“Kenapa muka Melur yang diviralkan, sedangkan dia budak baik? Tuduhan terhadapnya sangat kejam hanya kerana dia orang pertama jumpa Zara. Kalau tiada Melur, mungkin Zara sudah kehilangan nyawa di asrama,” jelasnya.
Dalam keterangannya, Azhari turut meluahkan rasa kesal apabila dirinya dikecam hebat di media sosial.
Katanya, sejak 16 Februari sehingga proses siasatan selesai, beliau sentiasa memberi kerjasama kepada pihak berkuasa termasuk polis di Papar dan Bukit Aman.
“Saya tunggu Zara di hospital, di forensik, saya ikut sampai ke perkuburan. Inikah yang saya patut terima, hanya kerana saya pengadu?” ujarnya.
Beliau turut menambah, sepanjang menjadi guru Bahasa Arab kepada Zara, beliau cukup mengenali pelajar itu. Malah, katanya, beberapa pesanan yang pernah disampaikan dalam kelas turut direkodkan dalam diari arwah, yang memberi kesan mendalam kepadanya.
Azhari juga membangkitkan persoalan mengapa keluarga Zara tidak pernah membuat aduan rasmi kepada pihak sekolah mengenai insiden “Kak M” yang dikatakan berlaku sekitar bulan Mei.
“Itu yang jadi persoalan saya. Kenapa ibu Zara tidak laporkan kepada sekolah? Saya sangat terkesan dengan kehilangan Zara ini, sebab itu saya ambil tahu,” tegasnya.
Setakat pertengahan September 2025, inkues masih berjalan dengan keterangan saksi-saksi utama.
Mahkamah Koroner akan meneliti semua bukti sebelum membuat keputusan rasmi mengenai punca kematian Zara dan sama ada terdapat pihak lain yang bertanggungjawab.






