PENAMPANG: Sebuah rumah roboh serta dua buah kenderaan mengalami kerosakan dalam kejadian tanah runtuh awal pagi tadi di Kampung Madsiang, Jalan Tambunan, sini.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah, panggilan kecemasan diterima melalui MERS999 pada jam 1.21 pagi.
Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang dengan kekuatan lapan anggota bergegas ke lokasi sejauh kira-kira enam kilometer.
“Pasukan tiba di lokasi pada jam 1.36 pagi. Sebaik tiba, pemeriksaan mendapati berlaku runtuhan tanah di kawasan berkenaan sehingga menyebabkan sebuah rumah musnah sepenuhnya dan dua buah kenderaan mengalami kerosakan.
“Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden tersebut. Pasukan bomba turut memberi khidmat nasihat kepada penduduk berhampiran agar berpindah sekiranya terdapat tanda-tanda runtuhan susulan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
“Pemantauan di kawasan sekitar turut dijalankan sebelum keadaan disahkan terkawal,” kata seorang pegawai jurucakap.
Operasi kemudian ditamatkan pada jam 2.20 pagi.






