Remaja 16 Tahun Ditemui Lemas, Tersangkut di Celah Batu di Tawau

Remaja 16 Tahun Ditemui Lemas, Tersangkut di Celah Batu di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dilaporkan maut selepas dikhuatiri lemas ketika melakukan aktiviti mandi-manda di Sungai Balung River Eco Resort, Batu 24 Jalan Apas, Tawau petang semalam.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada jam 3.24 petang melalui talian MERS 999.

Sepasukan 10 dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau bergegas ke lokasi kejadian sejauh kira-kira 45 kilometer. Jentera dilaporkan tiba di kawasan tersebut pada jam 4.25 petang.

“Operasi pencarian segera dijalankan dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut menghantar tujuh anggota di lokasi.

“Hasil pencarian menemukan mangsa pada jarak lebih kurang 50 meter daripada lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Mangsa ditemui dalam keadaan tersangkut di celah batu pada kedalaman kira-kira tiga kaki,” kata seorang pegawai jurucakap.

Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 5.35 petang.

Orang ramai dinasihati agar lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti rekreasi di kawasan sungai atau air terjun, khususnya ketika musim hujan yang berisiko meningkatkan arus deras dan bahaya tersembunyi di dasar sungai.