KOTA KINABALU: Peguam mewakili ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina, Nizam Salleh Keruak, menegaskan semua pihak perlu berhati-hati dalam memberi kenyataan sepanjang prosiding inkues berlangsung demi menjaga sensitiviti saksi kanak-kanak dan memastikan objektif utama, iaitu mencari kebenaran, tercapai.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Mahkamah hari ini selepas peguam kepada pelajar A memohon sesuatu tindakan daripada mahkamah mahkamah koroner berhubung kes membabitkan gangguan terhadap prosiding inkues Zara.
Menurut Nizam, pihaknya bersetuju secara prinsip kerana menghormati perjalanan proses perundangan yang sedang berjalan.
“Bila prosiding ini bergerak, kita mesti hormati prosesnya. Kita harus hati-hati sepanjang inkues berlangsung kerana ia melibatkan saksi kanak-kanak yang amat terkesan.
Perlindungan terhadap mereka penting agar objektif mencari kebenaran dalam inkues ini tercapai,” katanya.
Nizam menambah, pihaknya tidak mempunyai halangan terhadap permohonan tersebut dan berharap semua pihak berwajib menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya.
Kenyataan beliau hadir selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ini memberi amaran tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak, termasuk Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang didakwa mengeluarkan komen tidak wajar berhubung prosiding inkues kematian Zara Qairina.
AGC menegaskan prosiding inkues adalah proses perundangan yang perlu dihormati dan sebarang kenyataan yang boleh mengganggu perjalanan prosiding boleh dianggap menghina mahkamah.






