KOTA KINABALU: Sebanyak 11 kenderaan mewah pelbagai jenama disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah sepanjang Operasi Khas “Ops Luxury” yang dijalankan dari Jun hingga September tahun ini.
Antara model yang dikenakan tindakan termasuk Bentley Continental, Lexus, Range Rover, Mercedes Benz, Ranger Raptor, BMW 320i, Ford Mustang, Nissan Skyline, Nissan Fairlady dan Land Rover Defender.
Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, operasi tersebut memberi tumpuan kepada kenderaan mewah yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, khususnya melibatkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.
“Semua kenderaan terbabit telah dikenakan saman dan sebahagiannya turut disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengelak kesalahan yang dilakukan berulang,” katanya dalam satu kenyataan media.
Daripada jumlah itu, tujuh kes direkodkan di Kota Kinabalu, dua di Tawau, manakala Sandakan dan Beaufort masing-masing satu.
Mohd Harris menasihatkan pemilik kenderaan agar memastikan LKM dan insurans sentiasa diperbaharui bagi mengelak tindakan undang-undang serta menjamin perlindungan risiko sekiranya berlaku kemalangan.
“JPJ Negeri Sabah akan meneruskan aktiviti penguatkuasaan bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi undang-undang. Pandu cermat, sampai selamat,” ujarnya.






