SPRM Sabah Cadang DBKK Perketat Tatakelola Lesen Perniagaan

SPRM Sabah Cadang DBKK Perketat Tatakelola Lesen Perniagaan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah mencadangkan tiga penambahbaikan tatakelola kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) berkaitan isu permohonan lesen perniagaan menggunakan surat wakil kuasa.

Cadangan itu meliputi kaedah pemeriksaan balas terhadap pemilik lesen bagi mengesahkan status permohonan, mewujudkan garis panduan penggantungan dan pembatalan lesen perniagaan melalui jawatankuasa khas, serta memperkukuh tindakan pemeriksaan terhadap status lesen dan aktiviti perniagaan berdaftar.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah berkata siasatan awal mendapati wujud kes pemalsuan dokumen, termasuk pemilik syarikat yang menafikan pernah memberi kebenaran penggunaan dokumen peribadi untuk pendaftaran syarikat di DBKK.

“Pemilik syarikat juga tidak mengetahui nama serta salinan kad pengenalan mereka digunakan dalam permohonan lesen perniagaan,” katanya pada sesi pembentangan cadangan di Bilik Mesyuarat Mayor DBKK, pada Selasa.

Cadangan itu disambut baik oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK, Robert Lipon yang memberi jaminan pihaknya akan mengambil tindakan segera bagi menutup kelemahan yang dikenal pasti.

Turut hadir Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Sabah, Alexander S. Kunghi; Ketua Cawangan Penyiasatan Tatakelola, Hamsia Abdul Ham; serta wakil Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah, Andrea Abidin Madingkir.