Buaya Gergasi 17 Kaki Ditembak di Kg Pangkalan Asli, Merotai

Buaya Gergasi 17 Kaki Ditembak di Kg Pangkalan Asli, Merotai

0
SHARE

TAWAU: Seekor buaya gergasi dianggarkan sepanjang 17 kaki ditembak selepas beberapa hari menghantui penduduk di Kampung Pangkalan Asli, Merotai, semalam.

Menurut perkongsian di laman Facebook rasmi Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah, maklumat mengenai kejadian itu diterima daripada Ketua Kampung Pangkalan Asli, Mohammad Fakir, yang juga Timbalan Ketua Bahagian Merotai.

Beliau memaklumkan bahawa operasi menembak buaya tersebut dilakukan oleh Jabatan Hidupan Liar (JHL) selepas menerima aduan daripada nelayan tempatan yang bimbang keselamatan mereka berikutan kelibat reptilia berkenaan sering dilihat di kawasan sungai kampung tersebut.

Difahamkan, kejadian itu merupakan sebahagian daripada operasi besar-besaran yang berjaya menangkap empat ekor buaya dalam tempoh 24 jam di kawasan sama.

Tan Sri Liew menyifatkan tindakan pantas pihak berkuasa sebagai langkah penting bagi menjamin keselamatan penduduk dan nelayan setempat, selain mengelakkan ancaman berulang di kawasan perairan Merotai.